
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Fatimah Abdullah, dilaporkan telah bertanyakan mengenai rampasan MyKad daripada pesakit kanser dengan KDN dan JPN.
“JPN Sarawak telah menjelaskan perkara itu. Lina diberikan dokumen sementara bagi membolehkannya terus menerima rawatan kanser kolon tahap empat di sana.
“JPN menemui sesuatu menyebabkan MyKad itu diambil daripada Lina. Saya rasa perkara itu sedang dalam siasatan. Namun begitu, kami berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya menurut The Borneo Post.
Fatimah berkata kes Lina bukan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan, yang tertakluk di bawah Perkara 15A Perlembagaan.
Sebaliknya, kesnya bawah Perkara 19 Perlembagaan, di mana dinyatakan bahawa seseorang boleh memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi, satu proses undang-undang di mana kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada bukan warganegara setelah syarat tertentu dipenuhi.
Justeru, Fatimah berkata kes ini masih bawah bidang kuasa KDN.
Lina, pesakit kanser yang menjadi tajuk berita selepas mendakwa MyKadnya dirampas secara salah oleh pihak berkuasa di tengah-tengah pertikaian mengenai kewarganegaraannya.
Dia meninggal dunia pada 7 pagi semalam di Hospital Lawas pada usia 65 tahun.
Aktivis Agnes Padan, yang memperjuangkan hak Lina, berkata pihak keluarga sedang bersiap sedia untuk membawa jenazahnya pulang ke rumah mereka di Long Sebangang di Lawas.
Lina meninggalkan dua anak lelaki dan dua anak perempuan dengan semuanya tidak memiliki kerakyatan.
Awal bulan ini, Lina berkata, dia bimbang pergi ke Miri untuk rawatan perubatan selepas mendakwa pegawai JPN di Lawas merampas MyKadnya pada November ketika mahu menukar alamat untuk membuang undi.