30 rakyat Malaysia terkandas di Sudan berlepas ke Arab Saudi

30 rakyat Malaysia terkandas di Sudan berlepas ke Arab Saudi

Perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan 3,500 cedera sejak konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus 15 April lalu. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Semua 30 rakyat Malaysia yang terkandas di ibu negara Sudan, Khartoum, selamat meninggalkan Port Sudan ke Jeddah, Arab Saudi awal hari ini (waktu Sudan).

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, semua rakyat Malaysia meninggalkan pelabuhan itu dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi, selepas menempuh perjalanan sukar selama 30 jam melalui darat bermula dari Khartoum.

“Perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam,” katanya di Twitter.

Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dan UAE kerana menjayakan pemindahan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa atas semangat belas kasihan, Malaysia turut membantu warga Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat meninggalkan Sudan dengan selamat bawah pengawasan rapi dan usaha operasi pemindahan Malaysia.

Setakat ini, lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera sejak konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus pada 15 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.