Rakyat N Sembilan tolak tukar kerajaan tengah penggal

Rakyat N Sembilan tolak tukar kerajaan tengah penggal

Penduduk mahu kerajaan negeri diberi ruang mentadbir hingga tamat penggal selain bimbang krisis politik berpanjangan melemahkan keyakinan pengundi.

pc umno negeri sembilan
Isnin lalu 14 Adun BN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Rata-rata warga Negeri Sembilan menolak usaha menjatuhkan kerajaan negeri di pertengahan penggal, susulan tindakan 14 Adun Umno dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Penduduk ditemui FMT berpendapat, mandat rakyat diberikan melalui PRN hampir tiga tahun lalu perlu dihormati, selain bimbang kemelut politik berterusan hanya menjejaskan keyakinan pengundi terutama generasi muda.

Pesara, Zainal Mahmod, 71, berkata kerajaan sedia ada wajar dibenarkan meneruskan pentadbiran hingga tamat penggal kerana rakyat sudah membuat pilihan.

“Kalau rasa kerajaan sekarang tidak baik tunggu pilihan raya nanti, tiada kesudahan jika tukar di tengah.

Zainal Mahmod
Zainal Mahmod.

“Kita tidak mahu kemelut politik berterusan,” katanya mengakui penyokong BN.

Dia turut menegaskan, isu berkaitan adat di Negeri Sembilan yang dikatakan antara punca utama menyumbang krisis pentadbiran tidak wajar dipolitikkan.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, pada Isnin dipetik berkata keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Kerajaan Negeri Sembilan ditubuhkan menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN yang masing-masing menang 17 serta 14 kerusi pada PRN 2023.

BN turut mendakwa memiliki majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu negeri itu, mengambil kira kesediaan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai lima Adun untuk bekerjasama.

Bagi Rosni Majid, 72, yang mengundi lebih lapan kali berkata, konflik politik berpanjangan boleh menyebabkan rakyat, terutama generasi muda semakin tawar hati terhadap pilihan raya.

“Tak mustahil kali ini BN tarik sokongan kepada PH, nanti bila BN perintah, PH pula atau pihak lain tarik sokongan.

“Politik jadi tidak berkesudahan…saya sendiri pun rasa malas hendak mengundi.

“Saya risau nanti orang muda malas keluar mengundi,” katanya.

Pekerja swasta, P Mariama, 56, pula berkata pertukaran kerajaan atau menteri besar tidak memberi makna kepada rakyat jika isu kos sara hidup terus membebankan.

P Mariama
P Mariama.

“Kerajaan jatuh atau menteri besar bertukar itu hal politik. Bagi saya, lima tahun sekali pergi mengundi sudah cukup.

“Lepas itu kehidupan tetap sama. Harga barang tetap mahal, gaji tidak naik, rumah masih kena sewa. Kalau tukar kerajaan tetapi harga barang tidak turun tidak guna,” katanya.

Bagi peniaga di Lobak hanya mahu dikenali Loh Wai, dia lebih menumpukan kepada kelangsungan perniagaannya yang terkesan akibat krisis global di Timur Tengah.

“Semua ahli politik pun sama,” kata pemilik kedai perkakasan dan bahan binaan berusia 56 tahun tanpa menjelaskan lanjut kenyatannya itu.

Mohamad Luman Hakim pula tidak menolak kemungkinan yang pengundi di Negeri Sembilan mungkin terpaksa semula ke peti undi, angkara 14 Adun BN terbabit.

“Kalau tiada jalan selesai, lebih baik bubar DUN. Biar rakyat pilih kerajaan baharu.

“Jika selepas pilihan raya tiada parti dapat majoriti, serahkan kepada Tuanku (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) memilih menteri besar,” kata pekerja sendiri berusia 35 tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.