Segera tubuhkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo, kata Jeffrey

Segera tubuhkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo, kata Jeffrey

Timbalan ketua menteri berkata, pihak berkuasa itu boleh boleh menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke Sabah dan Sarawak dengan lebih baik.

Jeffrey Kitingan berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan menggesa diwujudkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo atau Borneon Civil Aviation Authority (BCAA) bagi mengawal selia dan menjaga industri penerbangan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, BCAA boleh menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke Negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.

“Dengan pengetahuan yang lebih baik tentang keadaan tempatan dan pemahaman tentang keperluan Sabah dan Sarawak, BCAA berupaya membina dorongan yang diperlukan untuk memudahkan industri penerbangan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Dalam jangka panjang, BCAA boleh memanfaatkan bukan sahaja Sabah tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan menubuhkan BCAA itu menyusul selepas wujud perbalahan berterusan mengenai tambang tinggi penerbangan ke Sabah dan Sarawak ketika Aidilfitri.

“Ini bukan sahaja menyerlahkan tambang penerbangan yang tinggi, mahal dan tidak munasabah untuk kedua-dua sektor,

“Ia juga mendedahkan masalah sistemik yang telah berpuluh tahun mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak dalam perjalanan udara, dan beban yang ditanggung oleh mereka selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia, dan merupakan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.

“Masa untuk menyediakan BCAA juga tepat sekarang kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.