Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

Sebelum ini, beliau merupakan timbalan ketua pengarah kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal).

Dr Radzi Abu Hassan akan menggantikan Dr Noor Hisham Abdullah sebagai ketua pengarah kesihatan yang baharu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan dilantik sebagai ketua pengarah Kesihatan yang baharu bagi mengantikan Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara pada 21 April.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang mengucapkan tahniah atas pelantikan itu memaklumkan ia dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.

Radzi merupakan timbalan ketua pengarah kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilantik ke jawatan itu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, ketua penyelaras perubatan negeri Kedah dan ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

Radzi juga pernah dilantik sebagai ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran tersebut dari 2013 sehingga 2021.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Datuk Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya.

“Dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan,” kata Zaliha dalam kenyataan.

Radzi mengantikan Noor Hisham yang bersara wajib bulan ini selepas 55 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.