
Suspek berusia 20 tahun yang juga pekerja kilang ditahan selepas polis menjalankan siasatan berhubung laporan dibuatnya pada 8.39 malam semalam, mendakwa dia dirompak.
Ketua Polis Padawan, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata wang tunai berjumlah RM3,200 yang didakwa disamun itu sepatutnya dikirim suspek kepada neneknya untuk tujuan membaiki rumah di kampung.
Katanya, suspek dalam laporan polis mendakwa disamun dua lelaki selepas dihalang ketika menunggang motosikal di Jalan Batu Kawa Moyan berdekatan Taman Sri Moyan, Kuching, 7.45 malam.
“Suspek memaklumkan dua lelaki tidak dikenalinya dan memakai topeng dengan salah seorang menggunakan topi keledar berpenutup penuh, manakala motosikal dinaiki tiada nombor pendaftaran.
“Dakwanya, salah seorang lelaki terbabit menumbuk pada bahagian perut dan menahan kedua-dua tangannya, manakala seorang lagi meletakkan parang ke leher sambil mengarahkannya menyerahkan semua barang dalam beg silang berwarna hitam,” katanya menurut Berita Harian.
Abang Zainal berkata, hasil soal siasat, laporan dibuat palsu dan suspek membuang beg serta dokumen peribadi miliknya ke Sungai Sarawak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.