
Keempat-empat remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa mengenai kejadian itu awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Gerik, Mohd Rahimi Zainol, berkata suspek menaiki motosikal, membaling objek keras ke arah cermin kenderaan khususnya kereta sedang bergerak dari arah bertentangan.
“Laporan berkaitan kejadian diterima awal pagi tadi daripada mangsa menggunakan laluan itu daripada arah Kota Bharu, Kelantan menghala Kuala Kangsar.
“Cermin hadapan dan sisi sebelah pemandu kenderaan mangsa pecah dalam kejadian sekitar jam 4.50 pagi tadi,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, polis menerima tiga lagi laporan berkaitan kejadian sama membabitkan kenderaan berlainan yang melalui jalan berkenaan pada waktu sama dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000.
“Hasil maklumat yang diperoleh, polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat remaja lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.