
PETALING JAYA: Seramai 76 kakitangan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur, dipindahkan selepas berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, E Yogeswaran berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.54 tengah hari.
Katanya, seramai 76 mangsa terdiri 36 lelaki dan 40 wanita tidak mengalami kecederaan dan dipindahkan ke kawasan selamat.
“Kejadian itu meruntuhkan sebuah pondok kawalan. Keluasan tanah runtuh dianggarkan 12,000 kaki persegi.
“Tanah runtuh tidak melibatkan blok bangunan kuarters dan asrama, hanya blok pentadbiran sahaja yang terkesan,” katanya menurut Kosmo.