Tunggu anak keluar penjara, ibu bimbang kesuntukan masa untuk raya bersama

Tunggu anak keluar penjara, ibu bimbang kesuntukan masa untuk raya bersama

Feridah Ismail bimbang tidak dapat hidup cukup lama untuk menyambut kepulangan anaknya, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Awal bulan ini, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan mengkaji semula hukuman mati dan penjara seumur hidup ke atas banduan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Apabila Affandi Abdul Rahim dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 2001, ibunya berusia 40-an.

Feridah Ismail, yang kini 68 tahun, mengimbau keadaan ketika anaknya ditahan atas kesalahan berkaitan senjata api.

“Saya harap akan hidup cukup lama untuk menyambut kepulangannya,” kata janda itu kepada FMT, menyuarakan kebimbangannya mungkin tidak dapat menanti ketibaan hari itu.

Feridah, bagaimanapun, berpaut pada harapan ketika negara menuju ke arah membatalkan hukuman penjara seumur hidup, yang menetapkan Affandi akan dipenjarakan sehingga dia meninggal dunia atau diberikan pengampunan diraja.

Hatinya girang selepas Affandi menghubunginya baru-baru ini dari penjara Bentong di Pahang dan memaklumkan jangkaannya untuk dibebaskan lebih awal.

“Dia kata tak sabar mahu pulang dan menjaga saya dan saya beritahu akan menunggunya.”

Affandi dipenjarakan selepas dia diberhentikan seorang anggota polis yang sedang meronda di Gombak kerana menunggang motosikal tanpa topi keledar pada 2001.

Affandi Abdul Rahim (tengah) bersama bapa dan ibunya, Feridah Ismail sebelum ditahan pada 2001.

Pergelutan menyusul dan Affandi merampas pistol anggota polis itu serta menyasarkannya. Dia kemudian melepaskan satu tembakan ke udara dan melarikan diri dengan pistol itu.

Dia ditahan polis selepas itu.

Sebelum penahanannya, Feridah berkata, beliau bergantung kepada Affandi untuk membeli barang runcit bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan Hari Raya.

“Dia anak yang baik, tak pernah tinggikan suara, bahkan kepada adik-beradiknya dan segera bantu saya apabila saya meminta sesuatu.”

Pada 11 April lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan mengkaji semula hukuman mati dan penjara seumur hidup ke atas banduan.

RUU itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong kemudian untuk diwartakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.