Sewakan unit PPR, 34 penyewa kena tindakan pemutihan

Sewakan unit PPR, 34 penyewa kena tindakan pemutihan

Tindakan pemutihan itu menyusul hasil pemantauan dan operasi Lembaga Perumahan Melaka sejak PPR Krubong mendapat kelulusan sewa untuk beli pada Ogos 2022.

Exco Melaka, Rais Yasin berkata, PPR ialah kemudahan diberikan kerajaan dan penyewa yang tidak mahu mendudukinya boleh pulangkan kerana ramai lagi memerlukan rumah itu. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Sebanyak 34 rumah di projek perumahan rakyat (PPR) Krubong di sini dikenakan tindakan pemutihan kerana penyewanya menyewakan unit mereka kepada pihak lain, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin.

Katanya, tindakan pemutihan itu dilakukan hasil pemantauan dan operasi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sejak PPR itu mendapat kelulusan sewa untuk beli (RTO) pada Ogos 2022.

“Rumah PPR ini kemudahan yang diberikan kerajaan dan sekiranya tidak mahu duduk, penghuni boleh pulangkan memandangkan ramai lagi yang memerlukan rumah ini.

“Jadi, kita lakukan tindakan pemutihan ini di samping mengenal pasti untuk memberikannya kepada pemohon lebih layak mendapat rumah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPR Krubong.

Katanya, dengan harga jualan RM35,000 seunit dan penghuni hanya perlu membayar sewa RM275 sebulan selama 20 tahun, termasuk kos penyelenggaraan, mereka sepatutnya bertanggungjawab menjaga rumah itu, termasuk tidak menyewakan kepada orang lain.

“Ini salah kerana kerajaan memberi subsidi banyak untuk perumahan ini bagi memastikan mereka yang betul-betul memerlukan mendapat kemudahan ini.

“Jadi, mereka dapat rumah dan sewakan kepada orang lain, saya rasa mereka ini tidak perlukan rumah ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.