
Beliau berkata, tinggal satu, dua kerusi di setiap negeri yang perlu diputuskan kepimpinan tertinggi parti.
“Pengagihan kerusi itu mengambil kira pelbagai faktor, kita punya ‘rule’ tersendiri ada yang mengenai ‘status quo’, ada yang mengenai jentera mana lebih kuat di satu-satu tempat dan ada calon yang berpotensi dan berwibawa.
“Paling penting, bila kita bincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan, keutamaan nombor satu bagi kita ialah memaksimumkan kemenangan sama ada atas nama PAS atau PN di negeri bertanding menggunakan lambang PN dan PAS.
“Buat masa ini, kita bagi ruang beraya dulu dan kita jangka selepas seminggu beraya, kita akan duduk balik bincang mengenai baki kerusi yang belum diputuskan,” katanya menurut Harian Metro.
Menteri besar Terengganu itu berkata, negeri pimpinannya akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tamat tempoh pada Jun ini yang tarikhnya tidak jauh daripada Kelantan, dengan DUN Terengganu mungkin dibubarkan selepas Kelantan.
Beliau berkata, pihaknya bersedia dengan jentera di seluruh Terengganu bagi menghadapi PRN sejak PRU15 tahun lalu.
“Oleh kerana terdapat pertimbangan lain pada waktu itu, maka kita kemudiankan PRN. Agihan kerusi sudah dibincangkan beberapa kali di peringkat negeri dengan negeri terbabit dalam PRN dan ia menunjukkan penyelesaian dalam waktu terdekat.
“Tinggal semua pemimpin yang mewakili parti masing-masing akan duduk kembali bincang selepas hari raya ini bagi memutuskan beberapa kerusi yang belum dimuktamadkan.”