Aroma sabut kelapa tambah seri baulu Lily

Aroma sabut kelapa tambah seri baulu Lily

Proses membakar baulu memerlukan kemahiran menjaga suhu api dan terpaksa mengambil masa lama berbanding menggunakan ketuhar.

Lily Suzieyana Mohd Khiruddin berbangga kerana masih mampu mengekalkan cara tradisional untuk membuat kuih baulu.
KUALA LANGAT:
Sebagai bekas jurutera, Lily Suzieyana Mohd Khiruddin pastinya cenderung menggunakan peralatan canggih dalam menyiapkan tugasan, namun tidak dalam menghasilkan kuih baulu yang laris menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketika ramai pengusaha memilih ‘membakarnya’ dengan ketuhar kerana lebih mudah dan pantas, namun tidak bagi wanita berusia 33 tahun itu yang membakar bancuhan adunan telur, gula dan tepung gandum menggunakan kaedah tradisional iaitu dibakar dengan sabut kelapa.

Lily Suzieyana mengambil masa untuk mahir mengawal suhu api yang penting dalam proses membakar baulu.

“Prosesnya panjang…untuk baulu lapis sahaja makan masa dua jam sebiji untuk siap tetapi ada baulu lain 20 minit sahaja.

“Bakar guna ketuhar mungkin cepat tetapi untuk orang betul-betul kenal baulu mereka pilih yang dibakar guna sabut kerana aroma dan teksturnya gebu,” katanya yang mengusahakan perusahaannya itu di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang dekat sini.

Lily yang terkenal dengan jolokan ‘Akak Bahulu’ di media sosial seronok melihat reaksi pembelinya yang teruja menghidu aroma baulu dibakar menggunakan sabut kelapa.

“Ada yang makan baulu dan dia (pembeli) kata ‘ada bau sabut’, kita kirim untuk pelanggan jauh dan mereka pun sebut teruja aroma sabut,” katanya yang menjelaskan produknya turut menjengah peminat kuih tradisional di Sabah, Sarawak dan Brunei.

Selain baulu lapis, Lily turut menghasilkan baulu gulung, kemboja dan cermai. Untuk memenuhi cita rasa masa kini, beliau membuat inovasi dengan meletakkan inti coklat dan aneka buah beri.

Mohd Ridzuan Tamel, 41, bersyukur isterinya, Lily Suzieyana berminat untuk meneruskan warisan berharga milik keluarganya.

Kaedah tradisional itu diwarisi daripada ibu mertuanya Rohidah Ahmad yang berusia 74 tahun. Dibantu suaminya, Mohd Ridzuan Tamel, 41, Lily memanfaatkan ruang ketika Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengembangkan perniagaan turun temurun berkenaan.

“Memang susah kerana bukan semua orang pandai bakar (jaga suhu api). Acuan tembaga ini perlu dipanaskan hampir satu jam sebelum boleh mula bakar.

“(Suhu) api atas dan bawah juga lain. Di atas yang menempatkan acuan guna sabut manakala bawah sabut serta kayu api,” katanya.

“Siapa yang ada pengalaman akan tahu (cara kawal suhu) sebab kalau tiada pengalaman, permukaan baulu akan hangus tetapi bahagian bawah belum masak.”

Melihat kesungguhan Lily membolehkan Rodiah kini menarik nafas lega kerana dapat menurunkan warisan berharga pembuatan baulu milik keluarganya.

Rohidah Ahmad.

“Saya belajar resepi ini dengan arwah mak saya. Dulu tak ada timbang-timbang (untuk sukat), semua mangkuk saja. 1 mangkuk telur, 1 mangkuk gula dan pukul (gaul adunan) guna tangan.

“Nak buat baulu macam ini, kena rajin. Kalau tak rajin, tak akan jadi. Kena rajin tengok api, jaga tepung,” cerita Rodiah yang dikurniakan enam cahaya mata – Mohd Ridzuan merupakan anak bongsunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.