6 ditahan kerana tiada penjamin, bukan sebab kaunter tutup, jelas pejabat pendaftar mahkamah

6 ditahan kerana tiada penjamin, bukan sebab kaunter tutup, jelas pejabat pendaftar mahkamah

Menurut pejabat ketua pendaftar mahkamah, penjamin bagi enam tertuduh terbabit tiada di mahkamah untuk menguruskan proses jaminan.

Peguam enam lelaki yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh mendakwa kaunter jamin ditutup awal berbanding kebiasaan. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menafikan penutupan kaunter jamin menyebabkan enam orang tertuduh terpaksa ditempatkan di penjara, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya, mereka ditahan kerana penjamin bagi enam orang tertuduh terbabit tiada di mahkamah untuk menguruskan proses jaminan.

Pejabat itu menjelaskan bahawa kes yang dinyatakan dalam laporan tersebut sebenarnya melibatkan 10 orang tertuduh dan mahkamah membenarkan semua dijamin.

“Hanya penjamin bagi empat orang tertuduh sahaja hadir bagi meneruskan proses jamin,” katanya dalam kenyataan.

Berhubung waktu penutupan kaunter, ia menjelaskan bahawa waktu biasa penutupan kaunter sepanjang Ramadan adalah pada 4 petang.

“Memandangkan dalam kes ini penjamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat dikemukakan sehingga kaunter ditutup pada 4 petang, proses jamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat disempurnakan,” katanya.

Ia juga menjelaskan bahawa kehadiran penjamin untuk menguruskan proses jamin sebahagian prosedur yang perlu dipatuhi, bagi membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin, dan memberikan penerangan secara lisan berhubung syarat dan tanggungjawab penjamin sepanjang tempon jaminan.

FMT pada Khamis melaporkan enam lelaki yang minta dibicara bagi tuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu terpaksa ditempatkan di Penjara Sungai Buloh selama empat hari, selepas kaunter jamin ditutup awal berbanding kebiasaan, menurut peguam mereka.

Alvin Tan mendakwa kakitangan mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang, sedangkan notis dipaparkan waktu pejabat beroperasi sehingga 4.30 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata beliau sudah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang menyiasat dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.