Tekad ibu selamatkan anak daripada cengkaman sindiket di Kemboja

Tekad ibu selamatkan anak daripada cengkaman sindiket di Kemboja

Nor Azlinda Azman meminta bantuan polis, mendapatkan pertolongan ahli politik, dan mengadakan sidang media bagi menarik perhatian kepada nasib anaknya.

Nor Azlinda Azman menunjukkan salinan laporan polis dibuatnya selepas mendapati anaknya menjadi mangsa sindiket di Kemboja.
PETALING JAYA:
Tekad seorang ibu memastikan Nor Aiman Suhaimi, 22, dapat menikmati ketupat dan serunding pada Aidilfitri kali ini selepas pengalaman ngeri dikurung sindiket pekerjaan di Kemboja, tahun lepas.

Selepas Nor Azlinda Azman mendapat tahu tentang nasib anaknya, dikurung sindiket Kemboja yang dikatakan mendera dan memaksa mangsa-mangsa mereka memakan tikus, beliau berusaha sehabis mungkin untuk membantu menyelamatkan Aiman.

Setiap hari selama dua minggu wanita ini menghubungi polis untuk mendapatkan perkembangan lanjut, mendapatkan pertolongan ahli politik, dan mengadakan sidang media bagi menarik perhatian kepada nasib anaknya.

Malah terlintas di fikiran wanita berusia 51 tahun ini untuk terbang ke Kemboja dan mencari anaknya, walaupun tidak berkemampuan.

“Dia sebenarnya sudah pasrah dengan nasib dirinya. Saya minta dia bertabah, ‘mak akan selamatkan kamu’,” kata ibu kepada dua orang anak ini kepada FMT.

Aiman diperdaya untuk bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di Dubai, pada April tahun lepas selepas seorang ‘kawan’ menawarkan kerja itu kepadanya.

Seminggu selepas itu, dia dipindahkan ke ‘ibu pejabat syarikat’ di Kemboja, yang didapati pusat Macau scam.

Apabila Azlinda dimaklumkan tentang nasib Aiman, beliau segera membuat laporan polis namun berasa terkilan kerana tiada perkembangan dalam siasatan.

Mujur bagi Azlinda apabila menemukan sebuah NGO yang berpangkalan di AS ketika menyelidik di internet berkenaan sindiket pekerjaan, iaitu Global Anti-Scam Organization yang sedia membantu mencari Aiman.

Ibu ini lega apabila NGO itu berjaya mengesan Aiman berdasarkan sedikit maklumat yang diberikan. Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan Aiman dan 23 rakyat Malaysia lain pada Ogos tahun lepas, berdasarkan maklumat daripada NGO itu.

“Maklumat mereka amat membantu polis. Mereka juga memaklumkan saya tentang keadaan anak saya ketika saya tidak dapat menghubunginya semasa dia bersama pihak berkuasa.”

Hari ini, Azlina bersyukur anaknya berada di sisinya.

Aiman yang akan berkahwin tidak lama lagi sekarang bekerja di sebuah kilang coklat dan berulang alik daripada rumah mereka di Gelang Patah, Johor.

“Raya tahun ini lebih istimewa dan bermakna selepas apa yang kami lalui. Saya akan masak makanan kegemaran Aiman, ketupat dan serunding.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.