Tawar insentif cukai untuk kurang kandungan gula, saran pakar

Tawar insentif cukai untuk kurang kandungan gula, saran pakar

Pakar nutrisi menggesa amalan penyediaan makanan lebih sihat dan mengambil lebih banyak sayur, bijirin penuh dan buah-buahan, ketika Kementerian Kesihatan memulakan rancangan kurang gula.

Malaysia membelanjakan hampir RM10 bilion setahun untuk merawat penghidap penyakit tidak berjangkit, dengan kebanyakannya dikaitkan pengambilan gula yang banyak. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pemakanan menggesa insentif cukai ditawarkan bagi menggalakkan pengeluaran makanan dan minuman lebih sihat sebagai sebahagian usaha kerajaan mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Tee E Siong berkata, pengurangan cukai kepada syarikat mengeluarkan produk lebih sihat perlu dimasukkan dalam pelan strategik kerajaan bagi mengurangkan pengambilan gula yang diumumkan Rabu lalu.

Katanya, program itu tidak patut hanya memfokuskan makanan dan minuman dibungkus serta diproses, tetapi juga perlu termasuk barangan tidak diproses yang dijual di kedai makan, termasuk gerai penjaja dan restoran.

“Banyak makanan dan minuman sedia dimakan di luar sana mengandungi kandungan gula tinggi. Tiada peraturan memerlukan mereka menekankan kandungan gula atau mengurangkannya,” katanya kepada FMT.

Tee berkata, pelan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meluas dan menggalakkan amalan penyediaan makanan lebih sihat serta pengambilan sayur, bijirin penuh dan buah-buahan.

Seorang pakar diet, Mary Easaw mencadangkan pengusaha makanan dan minuman yang mematuhi peraturan KKM ditawarkan rebat cukai ke atas lesen operasi mereka.

Katanya, KKM juga boleh mengiktiraf vendor yang mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

Beliau berkata, duti eksais gula yang dilaksanakan pada 2019 perlu diteruskan dan dipantau rapi.

Easaw berkata, kandungan pendidikan di media sosial, pelabelan pemakanan wajib pada makanan dan minuman serta peraturan lebih ketat bagi barangan dipasarkan kepada kanak-kanak antara langkah lain yang harus dimasukkan dalam rancangan KKM.

Presiden Persatuan Pakar Diet Malaysia, Winnie Chee berkata, kerajaan perlu mewajibkan restoran menawarkan air kosong secara percuma dan menjadikan pendingin air mudah diakses di pejabat serta sekolah.

Katanya, perlu ada penguatkuasaan ketat garis panduan untuk kantin sekolah yang melarang penjualan kuih-muih, minuman ringan dan minuman manis lain.

Ogos tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan KKM melaporkan kerajaan membelanjakan hampir RM10 bilion setahun untuk merawat penghidap penyakit kardiovaskular (serangan jantung, darah beku dan strok), diabetes dan kanser, semua penyakit yang boleh disebabkan atau diburukkan dengan pengambilan gula yang banyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.