Ketupat: Hidangan popular di Hari Raya, kaya dengan sejarah

Ketupat: Hidangan popular di Hari Raya, kaya dengan sejarah

Dengan kantung anyaman pucuk daun kelapa dan rasa isi nasinya yang unik, hidangan ikonik ini menjadi sebahagian penting tradisi Malaysia.

Ketupat ialah hidangan nasi berbentuk kiub yang dimasak di dalam anyaman daun kelapa. (Gambar Elemen Envato)
PETALING JAYA:
Suasana meriah apabila umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan berkumpul bersama keluarga di kampung halaman sambil menikmati pelbagai hidangan tradisional enak yang disediakan khas bagi perayaan itu.

Antara makanan yang paling menjadi tumpuan sudah tentunya ketupat. Hidangan nasi yang dimasak di dalam pucuk daun kelapa yang dianyam menjadi bentuk kiub itu sudah menjadi sebahagian penting budaya makanan dan tradisi di Malaysia.

Ketupat juga pernah dijadikan sebagai alat diplomasi apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiahkannya kepada pemimpin luar negara sebagai tanda persahabatan.

Tradisi membuat dan memakan ketupat pada Aidilfitri bermula dalam abad ke-15, pada zaman Kesultanan Demak di Jawa Tengah.

Menurut “Journal of Ethnic Foods”, ketupat atau kupat yang diambil daripada perkataan Jawa “ngaku lepat”, bermaksud “mengaku salah”, dikaitkan dengan tindakan meminta maaf ketika sesuatu perayaan.

Ketupat lazimnya dipotong kepada empat bahagian untuk mewakili konsep Jawa “laku papat” atau “empat kelakuan”, iaitu keterbukaan (lebaran), berlebihan (luberan), memaafkan (leburan), dan kesucian (laburan).

Segelintir pakar budaya Jawa juga berkata, amalan menggantung ketupat yang sudah dimasak di depan rumah bertujuan menghalau roh jahat.

Awang Azman Pawi.

Pakar sejarah Melayu, Awang Azman Awang Pawi daripada Jabatan Sosio-budaya Universiti Malaya berkata, kepercayaan Jawa Kuno sangat mempengaruhi elemen pembuatan ketupat.

“Anyaman daun kelapa di bahagian luar ketupat mewakili dosa seseorang, manakala beras yang putih di dalamnya menjadi simbol kesucian yang diperoleh selepas sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kefahaman mereka tentang ketupat.

“Bagaimanapun, sebelum abad ke-15 lagi, komuniti Hindu di Bali membuat ketupat untuk upacara sembahyang mereka. Ada yang berkata ketupat dan idli berkongsi banyak persamaan,” katanya, yang menambah makanan tradisi Selatan India itu kadang kala dihidangkan dengan balutan daun.

Katanya, walaupun ketupat dikenali sebagai makanan tradisional Melayu, tetapi ia juga mempunyai pengaruh makanan tradisional Cina iaitu “zongzi”, nasi melekit yang dibalut dengan daun buluh dan secara tradisinya dihidangkan ketika Festival Duanwu.

Ketupat paling sesuai dinikmati bersama kari ayam, rendang daging atau sambal kacang. (Gambar Elemen Envato)

Awang Azman berkata, beberapa negeri di Malaysia wajib menghidangkan ketupat bersama kuah kacang, rendang atau kari ayam pada Aidilfitri tetapi ada negeri yang turut menghidangkan lemang, beras pulut yang dimasak di dalam buluh.

“Ketupat berevolusi dan beradaptasi dengan budaya tempatan menerusi sinkretisme, amalan menggabungkan pelbagai kepercayaan dan budaya. Walaupun begitu, ketupat masih diingati sebagai memainkan peranan penting dalam membentuk budaya Melayu,” katanya.

Walaupun ketupat kebiasaannya dikaitkan dengan Aidilfitri, ia bertahan berzaman-zaman, menjadi komponen penting makanan dan budaya Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.