Di balik tirai besi, bekas ustazah rindu anak terkenang Syawal

Di balik tirai besi, bekas ustazah rindu anak terkenang Syawal

Kehidupan ibu tunggal beranak empat itu berubah sekelip mata selepas terjebak syabu ketika berusia 22 tahun angkara pengaruh sahabat.

Mika menasihatkan penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan berubah sebelum terlambat. (Gambar Bernama)
BACHOK:
Tatkala mendengar takbir Hari Raya, perasaan sayu mula menyelubungi jiwa Mika (bukan nama sebenar) apabila terkenang wajah keluarga dan anak-anak yang sedang gembira meraikan 1 Syawal.

Mika, 34, berkata walaupun sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dua hingga tiga tahun di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, pengalaman berjauhan dengan keluarga amat menyedihkan, namun itulah pengorbanan yang perlu dilaluinya.

“Banyak kenangan…saya rindu ketika menyambut hari raya, saya dapat bayangkan bagaimana saya uruskan empat anak saya berusia 2 hingga 12 tahun buat persiapan raya.

“Teringat abah dan emak yang sentiasa sibuk di dapur sediakan juadah hari raya bersama 11 lagi adik-beradik yang lain, selain dapat kumpul beramai-ramai dengan sanak saudara, itulah suasana hari raya yang masih segar dalam ingatan saya,” katanya ketika ditemui Bernama di Puspen Bachok.

Bercerita lanjut, ibu tunggal yang juga bekas guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) itu tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata apabila mula terjebak dengan najis dadah (syabu) ketika berusia 22 tahun angkara pengaruh sahabat.

“Saya memang tidak pernah kenal bagaimana rupa dan bentuk dadah jenis syabu sehinggakan suatu hari semasa badan saya berasa lenguh, saya meminta bantuan kawan saya mencari ubat tahan sakit, dia bagi syabu untuk cuba dan badan saya tiba-tiba berasa lega.

“Rentetan kejadian itu, kehidupan saya terus bergelumang dengan dadah dan lama-kelamaan segala kesenangan yang dimiliki seperti kerjaya, kereta, barang kemas dan sebagainya dijual serta digadai begitu saja,” katanya yang tidak dapat mengawal emosi serta tingkah laku ketika mengambil dadah itu.

Menyedari dia perlu berubah, Mika akur dengan keputusan keluarga menghantarnya ke Puspen Bachok untuk menerima rawatan dan pemulihan untuk menjadi insan lebih baik.

“Alhamdulillah, sejak saya berada di Puspen Bachok, banyak perkara serta ilmu saya pelajari, malah rakan-rakan senasib saya terus berusaha berubah ke arah kebaikan.

“Saya tidak akan ingat lagi titik hitam pernah hancurkan kehidupan saya kerana segala ujian dilalui sebelum ini sejarah bagi saya. Kepada penagih masih bebas, ayuh kembali ke pangkal jalan, belum terlambat untuk berubah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.