Tiada isu rumah terbuka bersama PM di negeri PAS, kata Anwar

Tiada isu rumah terbuka bersama PM di negeri PAS, kata Anwar

Perdana menteri berkata, rumah terbuka akan diadakan di semua negeri, termasuk Selangor.

Rumah terbuka Aidilfitri bersama perdana menteri julung kali akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, bukannya seperti kebiasaan di kediaman rasmi di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, tiada masalah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri bersama perdana menteri di negeri pimpinan PAS.

Katanya, beliau turut akan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di negeri lain.

“Negeri banyak semua (mengadakan rumah terbuka), termasuk Selangor.

“Tidak (hanya mengadakan rumah terbuka di negeri pembangkang),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di sini.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Putrajaya yang akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di negeri pimpinan PAS.

Beliau menyifatkan rumah terbuka itu diadakan hanya kerana PRN tidak lama lagi.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri berkata, rumah terbuka Aidilfitri bersama perdana menteri julung kali akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ini juga kali pertama rumah terbuka tidak diadakan di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Rumah terbuka di Kedah akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar dari 10 pagi hingga 2 petang 29 April, manakala rumah terbuka di Kelantan dari 7 malam hingga 10.30 malam 12 Mei di Stadium Sultan Muhammad IV.

Rumah terbuka di Terengganu pula dari 7 malam hingga 10.30 malam 13 Mei di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.