
Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia memberitahu FMT, pembangkang akan melakukan apa sahaja dan menggunakan sebarang isu untuk menyakinkan pengundi, dan bertindak balas terhadap siasatan dijalankan melibatkan pemimpin mereka.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas ketua penerangan parti itu, Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah. Parti berkenaan dan PAS merupakan tonggak dalam Perikatan Nasional.
Azizuddin berkata, “mereka akan menggunakan (siasatan) untuk menghukum kerajaan” dengan terus memainkan isu kaum dan agama untuk “mengelirukan orang awam.”
Bagaimanapun, beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu kekal telus berhubung perkara seperti itu, walaupun memberi peluru politik kepada seterunya.
“Menerapkan pendirian seperti itu akan mengukuhkan keyakinan orang awam kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Katanya, pengundi di kubu kuat PAS di Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak akan terjejas dengan berita siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengundi di negeri terbabit lebih mementingkan isu keagamaan dan kehidupan seharian, katanya.
“Orang Melayu di pedalaman Kedah sebagai contoh, lebih mengutamakan apa yang boleh disumbang pusat dan kerajaan negeri untuk kehidupan mereka, serta apa bentuk bantuan akan diterima daripada kerajaan.”
Dalam pada itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata PAS dan Bersatu dengan mudah menukar apa yang berlaku kepada Sivakumar kepada isu agama kerana rasuah merupakan dosa dalam Islam, “dan menyimpulkan ketiadaan tindakan Anwar terhadap menteri DAP”.
Katanya, pengundi Melayu di Selangor cukup bimbang dengan isu rasuah kini dalam situasi berwaspada terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana bekerjasama dengan Umno yang pada tanggapan mereka adalah “korup”.
“Naratif itu boleh digunakan untuk menentangnya (Anwar),” katanya.
Pada 17 Apr, Anwar berkata, beliau tidak akan menggugurkan Sivakumar kerana kes masih dalam siasatan dan belum dikenakan pertuduhan mahupun sabitan terhadap menteri itu.
Terdahulu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar dan pembantu kanannya berhubung siasatan pengambilan pekerja asing.