Taikun bankrap diberi 21 hari fail penyata hal ehwal

Taikun bankrap diberi 21 hari fail penyata hal ehwal

Lee Kim Yew berkata penyata hal ehwal akan membuktikan beliau 'sangat jauh untuk insolvensi'.

Lee Kim Yew berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan bersama pegawai Jabatan Insolvensi, pada Isnin.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan, Lee Kim Yew, diberi 21 hari untuk memfailkan penyata hal ehwalnya kepada Jabatan Insolvensi selepas diisytihar bankrap berhubung saman RM3 juta.

Pada sidang media, Lee berkata, beliau memegang aset 100 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah dituntut bekas pegawainya, Patrick Healy, seorang warga Amerika Syarikat.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya hanya akan menghantar dokumen kepada bidang kuasa Malaysia,” katanya sambil menyatakan sudah mengadakan pertemuan bersama pegawai jabatan itu, pada Isnin.

Healy merupakan pengarah sebuah syarikat yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Club Excellence Inc.

Lee yang juga pengasas Country Heights Holdings Bhd, menegaskan beliau “sangat jauh untuk insolvensi”, sambil menambah akan membuktikannya selepas menghantar penyata hal ehwal dikehendaki.

“Saya tidak malu jika menjadi bankrap dalam kes ini, sebaliknya berasa malu jika membenarkan Healy mengambil RM3 juta daripada saya atau dari bumi Malaysia. Pendirian saya adalah saya tidak berhutang wang secara peribadinya dengannya.”

Pada Rabu, dilaporkan Lee diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Semakan FMT dalam laman sesawang e-Insolvensi mendapati beliau diisytihar bankrap, pada 26 Jan.

Sehubungan itu, Lee berkata, beliau tidak memfailkan kebankrapan, namun diisytihar bankrap susulan tindakan Healy.

Lee berkata, selepas itu, Healy bersetuju berunding dengannya bagi penyelesaian dan mengenepikan arahan mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.