
Samling berkata ia mengecewakan apabila mereka berusaha untuk menyekat haknya untuk mendapatkan remedi undang-undang yang sesuai tanpa memahami konteks yang membawa kepada keadaan semasa.
“Daripada mewajarkan kedudukan mereka di mahkamah Malaysia, SAVE Rivers dan mereka yang bertanggungjawab kini menggunakan taktik tekanan luar dan luar negara untuk memaksa penarikan balik tuntutan yang belum selesai itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia juga menafikan dakwaan bahawa ia adalah keputusannya untuk memulakan tindakan yang diklasifikasikan sebagai Saman Strategik Terhadap Penyertaan Awam (SLAPP).
Samling berkata kira-kira setahun sebelum memulakan tindakan undang-undang, ia telah mengambil segala usaha yang mungkin untuk menangani dan menjelaskan sebarang salah faham dan maklumat salah dengan SAVE Rivers.
Usaha-usaha ini termasuk menghubungi mereka di NGO untuk menjelaskan perkara tersebut, tetapi ia “ditolak sama sekali”.
Ia juga mendakwa telah mengadakan libat urus dengan pemimpin masyarakat tempatan dan menganjurkan seminar untuk memberi taklimat mengenai proses pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
“Walaupun begitu, SAVE Rivers terus melemparkan tuduhan yang sama terhadap Samling, dengan serius memudaratkan dan mencemarkan reputasi Samling akibatnya. Samling tidak mempunyai pilihan lain selain memfailkan tuntutan itu,” katanya.
Tambahnya, Samling mengambil tindakan undang-undang sehari sebelum had tempoh satu tahun untuk menfailkan saman fitnah tamat.
Semalam, FMT melaporkan sekumpulan 160 pertubuhan masyarakat sivil menghantar surat solidariti kepada Samling, sebulan sebelum permulaan perbicaraan yang dijadualkan pada 15 Mei, untuk menggesanya menarik balik saman fitnahnya terhadap SAVE Rivers dan lembaga pengarahnya.
Simon Siah, peguam SAVE Rivers, berkata pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembela Hak Asasi Manusia, serta Business and Human Rights Resource Centre mengiktiraf saman ini mungkin diklasifikasikan sebagai SLAPP.
Samling menyaman SAVE Rivers atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah berkenaan dengan perundingan komuniti tempatan di bawah MTCS. Ia menuntut permohonan maaf, injunksi untuk menghentikan NGO itu daripada melaporkan dakwaan masyarakat dan RM5 juta sebagai ganti rugi.