
Beliau berkata kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan bersifat populis, sebaliknya menumpukan terhadap bantuan subsidi yang disasarkan untuk membantu rakyat.
“Siapa tak nak cuti… saya nak cuti juga tetapi bila perdana menteri umum tambahan cuti sekarang, peniaga perlu menanggung kerugian.
“Untuk Mydin sahaja kita sudah rugi setengah juta senang-senang. Kamu bayangkan setengah juta itu kita boleh bagi 500,000 menu Rahmah,” katanya dalam temubual bersama Agenda Awani yang bertajuk ‘Kelangsungan Menu Rahmah’.
Ameer berkata demikian susulan pengumuman cuti tambahan pada Jumaat dan Isnin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
Perdana menteri berkata, ia bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk menyambut Hari Raya.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pengecualian tol selama empat hari, iaitu dari 19 April hingga 21 April (Rabu hingga Jumaat), dan pada 24 April (Isnin depan).
Pengecualian tol ini meliputi 33 lebuh raya dan semua kelas kenderaan, katanya.
Selain itu, Ameer berkata pemberian tol percuma selama empat hari sepanjang tempoh Aidilfitri juga boleh dibuat secara bersasar.
“Saya boleh bayar, bagilah saya bayar.
“Jadi saya fikir kita perlu ada subsidi bersasar. Model kita ini tak betul,” katanya.