Pakai pelitup muka, kurangkan aktiviti luar, saran menteri kesihatan

Pakai pelitup muka, kurangkan aktiviti luar, saran menteri kesihatan

Orang ramai diingat mengehadkan aktiviti lasak dan banyak minum air kosong, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, walaupun tidak dahaga.

Sabtu lalu, kualiti udara dilaporkan menurun ke tahap ‘tidak sihat’ di sebahagian kawasan Semenanjung Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka dan mengehadkan kegiatan di luar rumah berikutan cuaca panas berpanjangan serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) “tidak sihat”.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata orang ramai perlu mengehadkan masa berada di luar rumah untuk mengelak terdedah kepada gelombang haba dan jerebu.

“Gunakan pelitup muka yang sesuai jika jerebu, dan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas,” katanya dalam kenyataan.

Zaliha turut mengingatkan orang ramai mengehadkan aktiviti lasak dan banyak minum air kosong, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, walaupun tidak dahaga.

“Kerap mandi bagi menyejukkan badan. Elak memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

“Gunakan penyaman udara dan penapis udara berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang pencemaran udara dari luar (jika berkemampuan).”

Beliau turut menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat, jika tidak sihat.

Sabtu lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos ini susulan musim peralihan monsun.

Beliau dipetik Harian Metro sebagai berkata, gelombang haba akan menjejaskan semua negeri, dengan kawasan pantai utara dan timur paling teruk terjejas.

Sebelum ini, Nik Nazmi berkata, keadaan jerebu dijangka lebih serius tahun ini berbanding tiga tahun lepas, berikutan aktiviti perladangan dan perindustrian disambung semula.

Sabtu lalu, kualiti udara menurun ke tahap “tidak sihat” di sebahagian kawasan Semenanjung Malaysia, dengan bandar seperti Pulau Pinang, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Segamat terjejas semalaman.

IPU dicatatkan Jabatan Alam Sekitar setiap jam menunjukkan tahap kualiti udara 149-151 sepanjang hari di Cheras, Kuala Lumpur; 151-138 di Segamat, Johor dan 112-102 di Tanah Merah, Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.