Orang Cina pengikrar tertinggi derma organ di Malaysia

Orang Cina pengikrar tertinggi derma organ di Malaysia

Pusat Sumber Transplan Nasional berkata jumlah orang Melayu berikrar menderma organ juga sudah melepasi kaum lain, sejak dua tahun lalu.

Rakyat Malaysia boleh berikrar menderma organ melalui aplikasi MySejahtera yang dapat digunakan bagi memeriksa status dan mengemaskini perincian. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Hampir 50% rakyat Malaysia berikrar menderma organ terdiri daripada kaum Cina, walaupun jumlah orang Melayu berbuat demikian melepasi kaum lain sejak dua tahun lalu, menurut Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC).

Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Dr Hasdy Haron, berkata Melayu mewakili 40%, India (9%) dan lain-kain (1%) melibatkan 359,484 pengikrar aktif dalam pangkalan data terkini.

Katanya, walaupun nilai itu merujuk kepada pengikrar, jumlah berbeza apabila melibatkan penderma sebenar mengambil kira tidak semua organ mereka dapat didermakan selepas kematian kerana isu keizinan daripada ahli keluarga.

“Jadi, jumlah sebenar penderma organ dari mayat mewakili 55% daripada masyarakat Cina, India 26%, Melayu 13% dan lain-lain 6%. Bagi etnik penerima, ia bersamaan dengan nisbah populasi rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

Hasdy berkata, berlaku peningkatan ketara jumlah penderma Muslim sejak dua tahun lalu selepas Majlis Fatwa Kebangsaan menggazetkan derma organ daripada mayat dibenarkan dalam Islam.

“Jumlah pengikrar meningkat walaupun tidaklah menggalakkan berbanding dengan saiz populasi negara. Bagaimanapun, kami akan berterusan melaksanakan kempen kesedaran dengan penerimaan orang awam lebih positif dewasa ini.”

Malaysia tersenarai di kedudukan 66 dalam Global Observatory and Transplantation pada kadar 0.21 perjuta orang. Kadar global ialah 6.37, manakala 3.48 bagi rantau Pasifik barat – kategori bagi Malaysia.

Menurut dapatan NTRC, jumlah keseluruhan pengikrar organ sejak 1997 adalah 359,484 dengan 11,634 daripadanya memberi keizinan pada tahun ini sahaja. “Perkembangan ini menggalakkan,” kata Hasdy.

Katanya, penting bagi pengikrar memaklumkan keputusan mereka kepada ahli keluarga, terutama saudara terdekat yang perlu memberi keizinan sebelum organ diambil.

“Pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan walaupun mereka tahu si mati memang sudah berikrar menderma organ. Sudah tentu, kakitangan kami di hospital juga dilatih memberi galakan kepada ahli keluarga bukan pengikrar penderma organ untuk menderma.

“Kira-kira 20% organ transplant dari kategori ini. Namun, menggalakkan rakyat berikrar menjadi penderma organ ketika masih hidup menjadi keutamaan kami,” katanya.

Hasdy berkata, rakyat Malaysia boleh berikrar menderma organ menerusi aplikasi MySejahtera, antara lain memeriksa status dan mengemaskini perincian, sambil menambah amalan mengeluarkan kad sudah dihentikan.

Menurut statistik NTRC, jumlah senarai menunggu bagi mendapatkan organ adalah 9,492. Ia membabitkan buah pinggang (9,237 dewasa dan 235 kanak-kanak), hati (lima dewasa dan dua kanak-kanak), dan jantung serta paru-paru (dua).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.