6 negeri PRN serentak boleh jimat RM100 juta, kata bekas pegawai SPR

6 negeri PRN serentak boleh jimat RM100 juta, kata bekas pegawai SPR

Kos untuk enam negeri mengadakan PRN serentak cuma RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan, kata Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad Wan Omar berkata, enam PRN diadakan berasingan membazir masa, tenaga dan wang kerana seluruh jentera kerajaan turut terikat dalam menjalankan proses demokrasi itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN serentak, kata bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad berkata, jika Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN serentak, kos­nya cuma RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan.

Katanya, SPR mempunyai ruang mengadakan enam PRN itu serentak pada Julai ini, jika enam negeri itu sepakat membubarkan DUN pada minggu terakhir Jun.

“PRN bagi enam negeri itu perlu diadakan tahun ini, memandangkan tempoh hayat setiap DUN terlibat akan tamat antara 26 Jun hingga 2 Ogos ini.

“Jika pembubaran tidak berlaku lebih awal, maka enam DUN berkenaan akan terbubar dengan sendirinya apabila tamat tempoh hayat ma­sing-masing,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Februari lalu, menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dilaporkan sepakat memutuskan untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun ini, namun keputusan itu dikhuatiri boleh berubah pada bila-bila masa.

Wan Ahmad berkata, pembubaran DUN secara serentak atau dalam minggu sama boleh memberi ruang kepada SPR mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh PRN.

“Bagi Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah, jika pembubaran berlaku minggu terakhir Jun, ia amat bersesuaian kerana beza tarikh tamat hayat lima DUN itu hanya kira-kira satu minggu, iaitu 26 Jun hingga 4 Julai.

“Tempoh hayat DUN Pulau Pinang pula (berakhir) pada 2 Ogos, atau satu bulan lewat berbanding lima DUN lain. (Tetapi) DUN negeri ini boleh dibubar lebih awal agar PRN dapat dilaksanakan serentak dengan lima negeri lain.”

Penggal DUN Selangor akan tamat 26 Jun ini, Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai) dan Kedah (4 Julai).

Wan Ahmad berkata, mengadakan enam PRN secara berasingan membazir masa, tenaga dan wang kerana seluruh jentera kerajaan, termasuk pelbagai jabatan dan agensi lain, turut terikat dalam menjalankan proses demokrasi itu.

“Jika enam PRN tidak dilaksanakan serentak, bukan saja SPR, tetapi semua jabatan dan agensi lain yang terlibat terpaksa menjalankan kerja yang sama berulang kali.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.