
Katanya, Prasarana berhasrat berbuat demikian bagi mendapatkan kembali kos pembaikan dan impak kesan daripada gangguan itu.
“Lebih baik menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya,” katanya pada sidang media.
Pada 22 Feb, Loke berkata, siasatan mendapati berlaku kerosakan struktur di jajaran LRT Ampang berpunca daripada pergerakan tanah, dipercayai kesan kerja pembinaan di tapak rancangan projek hotel, bersebelahan Stesen Bandaraya.
Katanya, Kementerian Pengangkutan mahu mengambil tindakan perundangan terhadap pemaju memandangkan kerja pembinaan bermula tanpa terlebih dulu berurusan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Pembaikan kerosakan struktur pada jejambat dan landasan bengkok berdekatan Stesen LRT Bandaraya dijangka selesai, pada September.
Ditanya berhubung ulasan dibuat bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong berhubung penerbangan domestik mahal ketika musim perayaan, Loke berkata, ia bukan isu baharu dan kementerian mengakui masalah berbangkit.
Katanya, kementerian sudah mengambil langkah meningkatkan kekerapan penerbangan dan berterusan mengenal pasti langkah mengurangkan harga tambang.
Wee dan Loke terlibat dalam “perang mulut” berkait tambang tiket penerbangan selepas Wee, pada Ahad, berkata tiket pergi balik kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Tawau, pada 20 April dijual pada harga RM3,138.
Loke kemudian menjawab, kuota harga itu merujuk kepada kelas perniagaan dan menghantar gambar tiket sehala pada harga RM2,863.40.
Bagaimanapun, semalam, Wee berkata, pemeriksaan dalam AirAsia Super App mendapati perjalanan pergi balik bagi kelas ekonomi Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau, berjumlah RM3,138.
Dalam maklum balas, Loke berkata, Wee sepatutnya menggunakan aplikasi milik Malaysia AirAsia atau laman sesawangnya memeriksa harga tambangnya, berbanding menggunakan aplikasi pihak ketiga.