Penyelia rugi RM92,000 diperdaya tawaran kerja dalam talian

Penyelia rugi RM92,000 diperdaya tawaran kerja dalam talian

Mangsa menerima pesanan WhatsApp dari sebuah syarikat yang menawarkan pekerjaan dengan cara menyiapkan tugasan dan dijanjikan pulangan serta komisen segera.

Polis berkata mangsa membuat 10 transaksi bayaran berjumlah RM92,220 ke enam akaun berlainan sejak Ahad hingga semalam. (Gambar Freepik)
JOHOR BAHRU:
Seorang penyelia syarikat swasta mendakwa kerugian RM92,220 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan sambilan dikatakan boleh mendatangkan keuntungan.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata lelaki berusia 41 tahun itu menerima satu pesanan WhatsApp dari sebuah syarikat pada Khamis, menawarkan pekerjaan dengan cara menyiapkan tugasan dan dijanjikan pulangan serta komisen segera.

Katanya, mangsa berminat kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi Telegram dan diberikan penerangan lanjut mengenai tugasan tersebut.

“Mangsa mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dan membuat 10 transaksi bayaran ke dalam enam akaun berlainan sejak Ahad hingga semalam dengan jumlah keseluruhan RM92,220.

“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga dan percaya ditipu apabila tugasannya telah selesai namun masih tidak menerima sebarang pulangan dijanjikan, sebaliknya dia diminta membuat bayaran sebanyak RM47,580 bagi proses pemulangan modal dan komisen,” katanya dalam kenyataan.

Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pekerjaan dalam talian terutama menjanjikan pulangan besar dan cepat.

“Gunakan perkhidmatan semakan disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.