Penyelia dituduh tipu warga emas RM200,000 urusan ambil pekerja asing

Penyelia dituduh tipu warga emas RM200,000 urusan ambil pekerja asing

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa untuk mendapatkan kelulusan KDN bagi pengambilan pekerja asing.

Penyelia syarikat A Gunasegaran, 56, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan memperdayakan warga emas berhubung pengambilan pekerja asing pada Ogos tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Penyelia syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berhubung pengambilan pekerja asing membabitkan kerugian hampir RM200,000.

Bagaimanapun, tertuduh A Gunasegaran, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memperdayakan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun bahawa dia boleh mendapatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pengambilan pekerja warga asing sedangkan ia tidak sebagaimana dijanjikan.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM185,932 dengan memasukkan ke dalam tiga akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya demikian.

Perbuatan itu dilakukan pada Januari 2018 hingga 5 Ogos 2022 di Lukut, Port Dickson.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM100,000 kerana menyifatkan ia kesalahan serius selain mahkamah perlu mengambil kira jumlah kerugian dalam kes berkenaan.

Peguam V Segaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan lelaki itu baru sahaja bekerja selepas lapan bulan menganggur kerana menjalani pembedahan lutut.

Norshila menetapkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 12 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.