Pakai pelitup muka tunai solat Aidilfitri dibincang, kata menteri

Pakai pelitup muka tunai solat Aidilfitri dibincang, kata menteri

Ia menyusul titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan jemaah di Perlis memakai pelitup muka dan membawa sejadah untuk solat Aidilfitri.

Na’im Mokhtar berkata, ketetapan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk kepada Jakim dan mufti Wilayah Persekutuan terlebih dulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar akan berbincang dengan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti Wilayah Persekutuan berhubung keperluan memakai pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun ia baik untuk langkah pencegahan susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini, sebarang ketetapan mewajibkan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk dua institusi itu sebelum membuat keputusan.

“Dalam Islam, memang kita digalak berjaga-jaga, lebih-lebih lagi dalam hal mengawal diri bagi pastikan wabak Covid-19 tidak merebak, namum sebarang ketetapan perlu dirunding dan dibincangkan dengan pihak berwajib terlebih dahulu,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan, bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh negeri itu digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri susulan peningkatan kes Covid-19.

Titah itu selaras pelaksanaan solat Aidilfitri di seluruh negeri itu yang turut digalak dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan pada 8 pagi, sama dengan pelaksanaan dahulu.

Na’im berkata, hasil perbincangan itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan sebelum keputusan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau menyarankan setiap negeri mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menggunakan pendekatan Perlis bagi menghalang kemungkinan penularan Covid-19.

“Bagi masjid dan surau di bawah Jakim, kita akan mulakan perbincangan mengenai ketetapan pemakaian pelitup muka, manakala negeri lain kita serahkan kepada kebijaksanaan majlis agama dan pengurusan masjid dan surau menentukan pendekatan terbaik masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.