Lelaki maut, kereta junam dalam lubang pembentung di Sandakan

Lelaki maut, kereta junam dalam lubang pembentung di Sandakan

Bomba dengan kerjasama JKR terpaksa mengepam air sedalam 1.5m sebelum mayat dapat dikeluarkan.

Kereta dipandu seorang lelaki lingkungan 40-an terjunam dalam lubang pembentung, dalam kejadian di Bandar Letat, Sandakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu terjunam dalam lubang pembentung dipenuhi air dalam kejadian di Bandar Letat, Sandakan.

Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu berjaya dikeluarkan selepas bomba dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya mengepam keluar air yang dianggarkan sedalam 1.5m.

Menurut Kosmo yang memetik jurucakap pusat gerakan operasi Bomba Sabah, sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian, pada 7.29 pagi tadi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva telah terbabas sendiri dan termasuk ke dalam lubang pembentung yang dipenuhi air yang dalam proses pembinaan oleh pihak JKR, di tepi jalan terbabit.

“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya laporan itu.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pada 8.57 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.