Lelaki disyaki pengedar ditahan, polis rampas dadah RM4.5 juta

Lelaki disyaki pengedar ditahan, polis rampas dadah RM4.5 juta

Lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras.

Polis berkata suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KUALA LUMPUR:
Polis merampas dadah seberat 123.2kg dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan menahan seorang lelaki disyaki pengedar dalam operasi khas di Cheras dan Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman, berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras, dan selepas diperiksa polis menemukan 114 kg dadah jenis syabu di dalam kereta jenis Toyota Vellfire milik suspek.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah kondominium di Ampang yang disewa suspek pada 15 April, dan hasil pemeriksaan pihaknya merampas 1.8kg ekstasi; 1.3kg erimin 5; 3kg ketamin dan 3.1kg syabu.

“Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan itu sebagai pendapatan utama.

“Polis percaya suspek mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Yahaya berkata, modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah “gated and guarded” dan kereta mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu untuk menampung penggunaan seramai 750,000 orang. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.