Jangan panik, Covid-19 terkawal menjelang Hari Raya, kata menteri

Jangan panik, Covid-19 terkawal menjelang Hari Raya, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa berkata walaupun Omicron pantas tersebar, namun ia tidak mengakibatkan gejala teruk.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengingatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan ketika menyambut Aidilfitri dengan memakai pelitup muka.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai tidak perlu panik dengan peningkatan kes Covid-19 menjelang Aidilfitri memandangkan penularan wabak itu masih terkawal walaupun melibatkan varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, penularan varian itu tidak menyebabkan gejala teruk dan kebanyakan kematian hanya membabitkan golongan berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik.

Namun, Zaliha mengingatkan orang ramai meningkatkan langkah pencegahan terutama ketika menyambut Aidilfitri dengan memakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Tak perlu panik tetapi kita masih galakkan mereka yang bergejala memakai pelitup muka khususnya di Hari Raya ketika bertemu keluarga.

“Kalau ada gejala sila buat ujian,” katanya pada sidang media selepas sesi ‘townhall’ kertas putih kesihatan zon tengah di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan, jumlah kes Covid-19 meningkat 87.5% bagi tempoh dua minggu sehingga 8 April.

Sementara itu, jumlah kemasukan ke hospital bagi tempoh sama pula meningkat 30.5%.

Jumlah kematian akibat Covid-19 pula naik sebanyak 25%.

Setakat 8 April, lebih 13,000 kes jangkitan aktif di seluruh Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.