Diskaun istimewa bagi peniaga jual Menu Rahmah

Diskaun istimewa bagi peniaga jual Menu Rahmah

Persetujuan telah dicapai dengan pasar raya bagi inisiatif ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan pada 31 Jan lalu bertujuan menjual makanan mampu milik, terutamanya bagi golongan B40.
PUTRAJAYA:
Peniaga yang mengambil bahagian dalam inisiatif Menu Rahmah akan diberi diskaun istimewa apabila membeli bahan mentah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, perkara ini telah dipersetujui bersama pasar raya tertentu, membabitkan barangan seperti ayam, bawang dan barangan keperluan lain.

“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada
pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang memberi manfaat besar, khususnya kepada rakyat kurang berkemampuan,” katanya dalam sidang media di sini.

Inisiatif Menu Rahmah, yang dilancarkan pada 31 Jan, bertujuan menjual makanan mampu milik, terutamanya bagi golongan B40.

Harga simen

Anwar berkata, harga simen akan ditawarkan pada kadar berpatutan kepada pemaju rumah mampu milik berharga  RM300,000 ke bawah dalam usaha mengurangkan harga rumah maksimum sehingga RM5,000.

“Mengambil kira pengurangan harga simen ini berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan RM120 juta insentif swasta yang diberikan pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.

“Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah
mampu milik sehingga 24,000 unit.”

Peruntukan tambahan selenggara jalan persekutuan

Beliau turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan yang akan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera.

Ini bermakna, jumlah peruntukan penyelenggaraan berkala turapan jalan persekutuan kini meningkat kepada RM 1 bilion, selepas peruntukan RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.