
Sinar Harian melaporkan Riki Ranaldi, 40, dan Haji Samirudin, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret, Azureen Sahari Sauffee Afandi.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu sengaja melarikan diri daripada jagaan Maritim Malaysia di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada 10.50 pagi 11 April lalu, selepas mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1963/56.
Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tiga anggota Maritim Malaysia membawa empat lelaki warga Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang menaiki sebuah van, tetapi dua tertuduh membuka gari berantai dan pintu belakang van lalu terjun melarikan diri.
Tiga anggota Maritim Malaysia cuba mengejar dua tertuduh tetapi tidak berjaya kerana mereka berpecah dan masuk ke ladang kelapa sawit terbiar berhampiran jalan raya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Media sebelum ini melaporkan dua lelaki yang melarikan diri itu, ditahan semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5km dari lokasi kejadian, dengan kedua-duanya menukar baju lokap dengan baju-T dan jeans yang dipercayai dicuri.
Dua tahanan itu cedera ringan selepas terjun dari van untuk melarikan diri.