Syarikat konsesi buat libat urus, PJD Link kembali hangat disebut-sebut

Syarikat konsesi buat libat urus, PJD Link kembali hangat disebut-sebut

PJD Link telah diluluskan pada dasarnya oleh Jemaah Menteri pada 2017 dan kerajaan Selangor pada 2020.

PJD Link bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya utama, seperti sebagai Lebuhraya Persekutuan dan LDP.
PETALING JAYA:
Perbahasan mengenai Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) kembali hangat selepas dilaporkan bahawa syarikat yang mengendalikan projek itu sedang berusaha memenuhi syarat perjanjian konsesi dengan kerajaan persekutuan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata PJD Link, yang diluluskan pada dasarnya oleh Jemaah Menteri pada 2017 dan kerajaan Selangor pada 2020, perlu dibina berdasarkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya.

Syarikat konsesi, PJD Link Sdn Bhd, sedang dalam usaha mengadakan libat urus dengan penduduk Petaling Jaya, walaupun ada yang menyatakan pendirian mereka tentang projek itu dengan jelas.

Mereka mengadakan protes dan memberikan amaran bahawa pembinaan PJD Link boleh menyebabkan penyandang kerusi DUN kehilangan undi pada PRN akan datang.

FMT melihat PJD Link dengan lebih dekat.

Apa itu ‘PJD Link’?

PJD Link ialah sebuah lebuh raya penyuraian sepanjang 25.4km, menghubungkan Damansara dengan Kinrara, Puchong. Lebuh raya itu bertujuan mengurangkan kesesakan di sepanjang beberapa lebuh raya yang berhubung, iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Sprint.

Lebuhraya itu akan melibatkan sambungan ke lebih 15 kawasan di sepanjang laluannya, termasuk kawasan kediaman seperti Damansara, Bandar Utama, PJ New & Old Town, PJ Selatan (PJS), Taman Medan, Taman Kinrara, dan Bandar Kinrara.

Sebanyak 11 persimpangan dan 21 tanjakannya akan membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk enam perhentian bas dan lima laluan kereta api yang dicadangkan, iaitu LRT3, MRT1, LRT Kelana Jaya, KTM Komuter, dan LRT Sri Petaling.

Ada pihak, seperti penganalisis pengangkutan veteran V Ravindran berkata, PJD Link dan pengenalan semula bas mini boleh membantu menyelesaikan masalah kesalinghubungan batu pertama dan terakhir di Petaling Jaya, yang didiami lebih 600,000 orang.

Pengguna kenderaan dijangka menggunakan PJD Link untuk mengurangkan hampir 70% masa perjalanan, membolehkan mereka dari Damansara masuk dari Lebuhraya Sprint untuk sampai ke Lebuhraya Bukit Jalil dalam masa 12 minit serta Lebuhraya Persekutuan (5 minit), dan begitu juga sebaliknya.

Kebimbangan penduduk

Segelintir penduduk Petaling Jaya menentang projek itu, dengan berkata lebuh raya itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah lalu lintas, sebaliknya akan menyebabkan bunyi bising dan pencemaran alam sekitar.

Kata mereka lagi, PJD Link akan menggalakkan lebih ramai penduduk Petaling Jaya menggunakan kenderaan persendirian, memburukkan kesesakan.

Pada 1 April, penduduk dan kumpulan pendesak “Say No To PJD Link” dan Pihak Berkepentingan merangkap Penduduk Menentang Lebuhraya PJD Link (ScRAP) mengadakan protes membantah projek itu.

Turut timbul kebimbangan bahawa projek itu mengakibatkan penduduk terpaksa berpindah kerana kerja pembinaan lebuh raya itu dijangka melibatkan pengambilan tanah.

Bagaimanapun, bilangan rumah yang akan terjejas hanya dapat ditentukan setelah penjajaran PJD Link disahkan.

Apa langkah seterusnya?

Kerajaan Selangor masih belum memberikan kelulusan untuk kerja projek itu dimulakan.

Kerajaan negeri masih menunggu laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA), penilaian impak lalulintas (TIA), dan penilaian impak sosial (SIA) dikemukakan.

Ahli-ahli Parlimen PH Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Wong Chen (Subang) berkata, mereka akan memastikan proses sewajarnya dipatuhi untuk kelulusan projek itu.

Sementara itu, syarikat konsesi sedang menjalankan tinjauan dan mengadakan perbincangan kumpulan fokus dengan penduduk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.