Pukul, campak wanita bawah jambatan, 5 lelaki ditahan

Pukul, campak wanita bawah jambatan, 5 lelaki ditahan

Wanita berusia 52 tahun diperlakukan sedemikian selepas menegur suspek kerana membuat bising, minum arak, dan mengambil dadah.

Polis berkata mangsa yang juga tukang cuci dipercayai dipukul, selain dicederakan menggunakan senjata tajam dan rotan sebelum dicampak dari jambatan.
SHAH ALAM:
Polis menahan lima lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat memukul dan mencederakan seorang wanita serta mencampakkan mangsa ke bawah Jambatan Kampung Sawah, Banting, kira-kira 30km dari sini.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 3.25 pagi Khamis lalu, mengatakan terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan itu.

Katanya, wanita tempatan berumur 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan itu diselamatkan oleh orang awam yang kemudian menghantar mangsa ke Hospital Banting, selepas sekitar sejam kejadian.

“Hasil temu bual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Ridhwan berkata, mangsa dipukul dan dicederakan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan di jambatan tersebut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat berjaya membuat tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan pada petang hari sama di sekitar Banting dan merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan,” katanya.

Katanya, semua suspek berumur antara lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

“Semua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.