
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasir mengakui berlaku sedikit kelewatan dan menjangkakan RUU berkenaan dibentang di Parlimen pada tahun depan.
Ia meliputi isu sewa kediaman, tanggungjawab penyewa dan pemilik kediaman serta penguatkuasaan.
“Ketika ini proses draf Akta Sewaan Kediaman sedang dibuat.
“Ia dijangka dibentang tahun depan, bergantung kepada libat urus dengan pihak berkepentingan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Nazri Mustafa supaya RUU berkenaan dipercepatkan bagi mengelakkan konflik berpanjangan disebabkan ketiadaan panduan jelas menetapkan hak pemilik dan penyewa rumah.
Nazri juga berharap akta tersebut menetapkan klausa yang wajib ada dalam perjanjian sewa, menjadi punca kuasa penubuhan tribunal untuk menangani masalah yang timbul daripada penyewaan, dan membolehkan tindakan undang-undang segera terhadap penyewa culas.
Sementara itu, Akmal berkata pihaknya merancang memperkemaskan Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengambil tindakan terhadap pemilik yang mengubahsuai kediaman mereka termasuk menjadikan balkoni sebagai bilik sewa.
Menurutnya, ini kerana ketika ini kementerian itu hanya berperanan merancang dan tidak mempunyai kuasa selepas sesuatu kediaman itu siap atau diubahsuai.
“Memang ada garis panduan tetapi hanya babitkan binaan asas, cabarannya berkaitan pengubahsuaian dalam keadaan tidak lagi memerlukan kebenaran merancang.
“Di peringkat PBT kita kawal dalam peringkat merancang, bila dah serah kepada pemilik itu menjadi cabaran,” katanya.
Baru-baru ini, tular sebuah iklan ‘bilik balkoni’ di Shah Alam yang disewa pada harga RM600 dan mencetuskan kemarahan warganet terhadap pemilik kediaman terbabit.