Kementerian Ekonomi komited pasti pelaksanaan RMK13 berjalan lancar

Kementerian Ekonomi komited pasti pelaksanaan RMK13 berjalan lancar

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata aspek penyelarasan dan pemantauan akan menjadi keutamaan kementerian, dengan 2026 diisytihar ‘tahun pelaksanaan’.

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata kejayaan dasar tidak lagi boleh diukur melalui pengumuman atau dokumen perancangan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan memberi impak nyata kepada rakyat.
PUTRAJAYA:
Aspek penyelarasan dan pemantauan akan menjadi keutamaan kementeriannya bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjalan seperti dirancang, tegas Menteri Ekonomi, Akmal Nasir.

Beliau yang dilantik menerajui kementerian bulan lalu berkata, kejayaan dasar tidak lagi boleh diukur hanya melalui pengumuman atau dokumen perancangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi impak nyata kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan mewujudkan kerangka pemantauan rancangan pembangunan lima tahun lebih menyeluruh, merangkumi pelaporan kemajuan secara berkala serta mekanisme tindakan pembetulan pantas jika berlaku kelewatan atau kegagalan.

“Pelaporan kemajuan mesti telus, tepat masa dan mencerminkan keadaan sebenar di lapangan. Yang penting bukan hanya apa yang kita rancang, tetapi apa yang benar-benar dilaksanakan,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Ekonomi.

Akmal berkata, peranan pelbagai jawatankuasa sedia ada turut diperkasa, termasuk Pasukan Petugas Khas (TWG), Kumpulan Penasihat Bebas (IAPG), Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memperkukuh koordinasi dasar dan pelaksanaan program.

Tegasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap projek di bawah RMK13 mencapai sasaran ditetapkan, selain mengelakkan pertindihan fungsi kementerian dan agensi yang boleh menjejaskan keberkesanan dasar kerajaan.

Pada masa sama, katanya, 2026 diisytiharkan ‘tahun pelaksanaan’ bagi Kementerian Ekonomi untuk memastikan semua dasar dan strategi tidak lagi terhenti di peringkat perancangan.

“Tahun ini adalah tahun kita melaksanakannya. Kita tidak mahu lagi berada dalam perangkap menggubal pelbagai strategi, tetapi gagal di peringkat pelaksanaan.

“Year of execution bermaksud setiap keputusan mesti diterjemahkan kepada program, inisiatif dan projek yang benar-benar sampai kepada rakyat.”

Katanya, pelaksanaan RMK13 akan menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) bukan sahaja kepada kepimpinan kementerian, malah ketua jabatan, agensi pelaksana serta seluruh warga perkhidmatan awam di bawah kementeriannya.

Beliau berkata, pemantauan rapi dan pelaksanaan efektif juga penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan daya saing negara serta membantu Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana melalui ekonomi berasaskan pengetahuan dan produktiviti tinggi.

“Kita mahu KPI bukan hanya dalam bentuk angka di atas kertas. Ia mesti dinilai melalui kesan ke atas kehidupan rakyat – peluang pekerjaan, pendapatan lebih baik dan pembangunan seimbang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.