Mercun, bunga api bernilai RM3.3 juta dirampas, 120 individu ditahan

Mercun, bunga api bernilai RM3.3 juta dirampas, 120 individu ditahan

Rampasan itu bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu kerana didapati tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 5,188 daripada 6,526 permohonan lesen menjual bunga api dan mercun telah diluluskan seluruh negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 120 individu ditahan di seluruh negara kerana melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3,389,180 bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kesemua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Noorsiah berkata, polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.