Kastam siasat penyeludupan dadah hampir RM800 juta ke Australia

Kastam siasat penyeludupan dadah hampir RM800 juta ke Australia

Laporan siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh 2 minggu sebagaimana yang diarahkan oleh perdana menteri, kata Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Sazali Mohamad.

Dilaporkan sebelum ini bahawa polis Australia di Brisbane, Queensland, merampas heroin seberat 336kg yang dikatakan diseludup dari Malaysia melalui Pelabuhan Klang. (Gambar polis Australia)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam sedang menjalankan siasatan berhubung penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta dari Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia, kata Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Sazali Mohamad.

Beliau berkata, laporan siasatan tersebut akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu sebagaimana yang diarahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini kita tidak boleh dedahkan hasil siasatan kerana maklumat ini perlu dirahsiakan terlebih dahulu, namun laporan itu akan siap dalam tempoh dua minggu,” katanya selepas majlis iftar bersama anggota Jabatan Kastam di Pasir Puteh malam tadi, lapor Berita Harian.

“Tiada pegawai yang dihantar ke Australia kerana di sana, kita mempunyai pegawai atase Kastam di Kedutaan Malaysia dan kita berhubung dengan mereka.”

Apabila ditanya kemungkinan pegawai dan anggota jabatan itu bersubahat dalam kes penyeludupan berkenaan, Sazali berkata, perkara itu juga masih disiasat.

Dilaporkan sebelum ini bahawa perdana menteri mengarahkan jabatan itu menyediakan laporan penuh dalam tempoh dua minggu berhubung penyeludupan dadah jenis heroin tanpa dikesan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Australia pada Mac lalu.

Heroin seberat 336kg itu dirampas polis Australia di Brisbane, Queensland, pada 13 Mac, dilaporkan sebagai rampasan kedua terbesar di negara itu.

Anwar berkata, kejadian ini menunjukkan kelemahan dalam sistem yang “begitu canggih sekarang ini”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.