
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas satu video memaparkan tindakannya itu tular di media sosial, lapor Sinar Harian.
Farouk Eshak berkata, lelaki itu ditangkap jam 10 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.
“Suspek dipercayai membakar mercun jenis cake (138) kerana diminta oleh pelanggan premis milik rakannya.
“Aksi suspek itu dirakam sebelum dimuat naik menerusi Facebook dan menjadi tular serta kemudiannya dikesan oleh pihak polis,” katanya yang memberitahu suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Pada Jumaat, tular satu video memaparkan seorang lelaki bertindak membakar mercun dipercayai di lebuh raya MRR2.
Video berkenaan mengundang kecaman warganet yang bimbang tindakan tersebut boleh membahayakan pengguna lebuh raya.