Singkir Bestinet agar pengambilan pekerja asing lebih telus, kata Santiago

Singkir Bestinet agar pengambilan pekerja asing lebih telus, kata Santiago

Pengurusan pengambilan pekerja asing harus diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri, bukannya KDN mahupun KSM, kata bekas Ahli Parlimen Klang itu.

Proses pengambilan pekerja asing mesti terbuka dan telus di negara ini dan negara sumber, tegas Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti menyingkirkan Bestinet Sdn Bhd dan broker buruh agar proses pengambilan pekerja asing menjadi lebih telus, kata Charles Santiago.

“(Bestinet) dikawal oleh broker buruh utama. Proses pengambilan mesti terbuka dan telus di kedua-dua negara,” kata bekas Ahli Parlimen Klang daripada DAP itu dalam kenyataan.

Bestinet ialah pembekal sistem IT untuk pengambilan pekerja dari semua negara sumber.

Pada Julai tahun lepas, syarikat itu diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet “meyakinkan” kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi yang membekalkan pekerja Bangladesh kepada hanya 25.

Santiago berkata, pengurusan pengambilan pekerja asing harus diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri, bukannya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“(Perlu ada) jabatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan diketuai oleh bekas hakim, CEO atau pesara penjawat awam kanan,” katanya.

Pada masa sama, Santiago turut menggesa kerajaan supaya menghebahkan penemuan laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing 2019 yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hishammudin Yunus.

“Pengurusan pekerja migran boleh ditambah baik, tetapi malangnya, kita lebih suka menanggung akibat tidak bertindak,” katanya.

Laporan jawatankuasa 2019 itu dikatakan mengesyorkan pengambilan pekerja diletakkan bawah KSM tetapi menurut sumber, Jemaah Menteri Pakatan Harapan (PH) ketika itu membantah penemuan laporan itu dihebahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.