PSM cadang skim pencen warga emas

PSM cadang skim pencen warga emas

Pengerusi PSM Dr Jeyakumar Devaraj berkata bayaran bulanan RM500 dapat membantu 1.8 juta warga emas menjalani kehidupan 'bermaruah'.

Negara dijangka mempunyai tujuh juta warga emas mewakili 20% populasi menjelang 2040. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru kerajaan melaksanakan skim pencen warga emas dengan golongan itu menerima bayaran bulanan RM500 kepada semua pesara sama ada daripada perkhidmatan awam atau swasta.

Dalam kenyataan, Pengerusi PSM Dr Jeyakumar Devaraj, berkata skim itu dapat membantu 1.8 juta warga emas menjalani kehidupan “bermaruah”, selain mengurangkan beban kewangan kepada anak mereka.

Beliau mengambil maklum ramai penjawat awam kontrak tidak layak menerima pencen.

Menurutnya, kerajaan perlu memperuntukkan hanya RM11 bilion sahaja bagi pelaksanaan skim itu, yang mewakili 2.8% daripada keseluruhan bajet negara berjumlah RM390 bilion.

Beliau juga merujuk kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, yang dilaporkan berkata, kerajaan mampu menjimatkan RM17 bilion jika tidak memberi subsidi minyak kepada T20.

Jeyakumar berkata, skim pencen sepatutnya disalurkan bagi mengelak kemiskinan menua, memandangkan negara dijangka mempunyai tujuh juta warga emas menjelang 2040, menjadikan golongan itu mewakili 20% populasi.

Selain itu, dianggarkan 2.3 juta atau 56% warga emas ketika ini tidak menerima pencen daripada kerajaan mahupun swasta, termasuk perlindungan insurans.

“Mereka memerlukan satu bentuk bantuan pendapatan bulanan.”

Katanya, masalah bertambah buruk mengambil kira separuh daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 55 tahun ke bawah hanya mempunyai simpanan bawah RM10,000, jauh daripada simpanan persaraan asas RM240,000 disyor KWSP.

“Keperluan untuk melaksanakan suatu ‘pencen warga emas’ dengan segera adalah amat kritikal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.