
Bagaimanapun, pengerusi mahkamah Augustine Anthony memotong RM26,500, mewakili 35% daripada pampasan RM75,000 yang layak diterima Chong Ka Ong, disebabkan salah lakunya yang menyumbang kepada tindakan itu.
Chong dianugerahkan RM48,750.
Anthony berkata, Chong melakukan salah laku itu dengan merakam secara “rahsia” audio mesyuarat yang diadakan dengan pihak atasannya bagi menangani beberapa rungutan.
“Salah laku oleh (Chong) hanya didedahkan di mahkamah semasa kes ini didengar,” katanya dalam keputusan setebal 64 muka surat yang dikeluarkan minggu lepas.
Beliau berkata, tidak dipertikaikan bahawa majikan Chong, Light Discovery Sdn Bhd, mengadakan mesyuarat itu pada 30 Dis 2020.
Tanpa diketahui semua yang hadir, Chong secara rahsia merakam pertemuan itu yang berlangsung kira-kira dua jam.
Anthony berkata, penyataan kes Chong “dengan sengaja tidak menyatakan” bahawa dia secara rahsia merakam pertemuan dengan pihak atasannya itu.
Ini menyebabkan syarikat itu tidak mendapat peluang untuk menangani rakaman rahsia itu dengan sewajarnya, katanya.
“Tiada majikan yang berfikiran waras dan wajar akan membenarkan atau akur (dirakam oleh) mana-mana orang bawahannya secara rahsia, terutamanya apabila sedang membincangkan hal ehwal syarikat,” katanya.
Beliau berkata, mungkin terdapat banyak sebab untuk ini, termasuk keperluan untuk mengekalkan kerahsiaan maklumat berkaitan strategi korporat dan perancangan perniagaan syarikat.
Chong mendakwa dia dipecat secara konstruktif pada 31 Dis 2020 selepas majikannya secara salah memotong gajinya untuk Oktober dan November 2020, dan mengenakan skim gaji dan saraan disemak semula yang mengakibatkan pengurangan gaji kekal.
Dia turut mengadu tentang kelakuan pegawai syarikat menggunakan kata-kata kesat terhadapnya dan mengancam untuk memecatnya selepas dia mengadu tentang pelanggaran syarat asas kontraknya.
Chong, yang menyertai syarikat itu pada Jun 2019, dibayar gaji dan elaun bulanan berjumlah RM3,000.
Apabila dimaklumkan tentang bantahannya terhadap pengurangan gaji dan pemansuhan elaun, syarikat itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya pada 2 Dis 2020 yang mendakwa wujudnya salah laku dan prestasi buruk.
Syarikat itu kemudiannya mengadakan mesyuarat pada 30 Dis 2020.
Bagaimanapun, pegawai syarikat itu tidak membetulkan salah laku pelanggaran kontrak seperti yang diadu Chong, sebaliknya memarahinya dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Memandangkan rungutannya tidak dapat diselesaikan, dia memberikan notis pemecatan konstruktif berkuat kuasa pada 31 Dis 2020.
Anthony berkata, tindakan syarikat itu mengurangkan gaji Chong melalui skim gaji baharu tidak boleh diterima.
Menurutnya, syarikat itu terus menjadikan Chong mangsa apabila dia menyatakan tidak bersetuju dengan semakan gajinya.
Anthony berkata, kelakuan pegawai syarikat itu, termasuk pengurus pembangunan perniagaannya, Kok Ching Seen, dan bos Chong, menyebabkan dia tidak lagi dapat meneruskan pekerjaannya.
“Perbuatan pegawai syarikat itu secara berasingan atau secara kumulatif sudah tentu memaksa (Chong) meninggalkan pekerjaannya,” katanya.
Anthony membuat keputusan tersebut selepas menganalisis keterangan bahawa syarikat itu terlibat dalam amalan buruh yang tidak adil, melanggar kontrak pekerjaan pihak yang menuntut dan menganiayanya, sehingga menyebabkan pemecatan tanpa sebab atau alasan yang adil.