
Anwar berkata, sebagai contoh kerajaan segera meluluskan permohonan Kelantan mengenai projek tebatan banjir di Sungai Golok, semalam, memandangkan ia sangat mendesak.
Katanya, walaupun parti politik akan “berlawan” pada pilihan raya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat mesti sentiasa bekerjasama.
“Semalam, ketika menteri besar Kelantan bertemu saya dan mohon lebih banyak projek tebatan banjir (di Kelantan). Saya kata ya. Ia melibatkan sejumlah besar wang dan akan dilaksanakan di Sungai Golok. Isu banjir di Kelantan mendesak.
“Kerana masalah banjir ini serius, masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi walaupun kita boleh bantu sedikit di sini (Pulau Pinang) kita kena beri keutamaan (di Kelantan) walaupun kerajaan negeri itu berbeza parti, ini kenyataan.
“Sebab itu saya nak bezakan fakta dan rekaan, rekayasa, di dalam politik kita kena beringat,” katanya pada pelancaran projek Masjid Mengkuang Titi, dekat Kubang Semang.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Mat Jan, dan Ketua Umno Permatang Pauh Zaidi Said.
Anwar berkata, kerajaan diterajuinya meraikan perbezaan untuk kesatuan ummah, namun memberi penegasan beliau tidak akan bertoleransi dengan amalan rasuah, terutama mereka yang cuba mengambil “upah” daripada projek kerajaan.
Terdahulu, beliau mengumumkan Putrajaya akan menyalurkan hampir RM5.4 juta bagi pembinaan Masjid Mengkuang Titi, yang melibatkan kos RM9 juta. Kerajaan Pulau Pinang menyumbang RM1.1 juta, manakala derma daripada penduduk setempat akan menanggung baki kos.
Masjid itu dijangka mampu memuatkan 3,000 jemaah, dijadual siap pada 2025.
Anwar berkata, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang akan dirombak bagi menambah baik bantuan kepada masyarakat itu, dengan bekas setiausaha kerajaan negeri, Khalid Ramli akan mengetuai agensi berkenaan.