
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Zahid berkata, Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Okt dan 23 hingga 27 Okt untuk perbicaraan kes itu.
“Perbicaraan kes saman itu akan berlangsung di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 19 Mei ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkenaan hari ini secara dalam talian.
Prosiding turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Zahid, 70, berkata Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing, sempena kempen PRN Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing, pada 16 Feb lalu.
Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran DUN Johor.
Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lalu, mendakwa kenyataan beliau bahawa Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.
Presiden Bersatu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam.