Bekas CEO didakwa rasuah, MARii sedia beri kerjasama

Bekas CEO didakwa rasuah, MARii sedia beri kerjasama

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) memaklumkan pengurusan baharu tidak akan berkompromi dengan rasuah atau salah guna kuasa.

Bekas CEO MARii Madani Sahari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM5 juta dua tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa susulan pendakwaan terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO) yang didakwa menerima rasuah RM5 juta.

MARii dalam kenyataan memaklumkan, pengurusan baharu bawah CEO yang baru dilantik Azrul Reza Aziz dan lembaga pengarah akan mendukung serta menekankan aspek integriti dan tadbir urus baik dalam setiap peringkat pentadbiran.

“Semua jabatan dan pegawai di MARii mengamalkan ketelusan, penguatkuasaan dan pemerkasaan tadbir urus yang baik, selain tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan rasuah atau salah guna kuasa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, objektif MARii ketika ini adalah untuk mengukuhkan daya saing industri automotif negara di peringkat nasional dan antarabangsa selaras Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

Terdahulu, bekas CEO MARii, Madani Sahari didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta, dua tahun lalu.

Madani dituduh menerima rasuah itu untuk membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapatkan surat anugerah projek bernilai RM12 juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

MARii ialah agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.