
Menjawab soalan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata pihak berkuasa dibenarkan menggunakan peruntukan Akta Hasutan untuk melaksanakan tugas selagi ia belum dipinda atau dimansuhkan oleh Parlimen.
“Walaupun kita komited untuk mengkaji semula akta ini, sementara ia dijalankan, Akta Hasutan akan digunakan secara berhemat dan terhad, iaitu khusus bagi kes yang melibatkan penghinaan terhadap Agong dan institusi diraja serta perkara yang boleh mengancam kedaulatan negara.
“Polis mempunyai tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara, khususnya apabila melibatkan isu sensitif seperti 3R (kaum, agama dan raja),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Rayer daripada DAP mempersoalkan mengapa polis masih menahan, menyiasat dan mendakwa individu di bawah Akta Hasutan sedangkan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang yang disifatkan sebagai ‘draconian law’ itu.
Pada Mac 2024, Saifuddin, yang juga setiausaha agung PH, berkata Kabinet telah bersetuju untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan supaya ia hanya boleh digunakan terhadap mereka yang menghina institusi diraja.