
Sebanyak 26 syarikat pengendali menerima kontrak selama tiga tahun, manakala 11 syarikat menerima kontrak setahun, katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian ISBSF 2023.
“Bukan semua pengendali akan dapat kontrak tiga tahun. Hanya pengendali yang mencapai prestasi 70% dan ke atas dalam tempoh 2021 hingga 2022 sahaja akan dapat tempoh tiga tahun untuk kontrak baharu ini,” katanya.
Dana ISBSF diperkenalkan pada 2012 bagi membantu pengendali bas henti-henti menampung kos operasi harian terutama laluan di kawasan luar bandar, selain membantu mereka meneruskan perkhidmatan di laluan yang mengalami kerugian dengan subsidi kerajaan.
Loke berkata, sejak 2012 hingga 2022, kerajaan memperuntukkan lebih RM1 billion bagi memberi bantuan subsidi kepada pengendali yang terlibat.
Beliau berkata, kerajaan telah menambah baik kontrak perjanjian dana ISBSF 2023 iaitu pengusaha perlu mematuhi beberapa perkara, antaranya ketepatan masa dan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai.
“Pengendali perlu mematuhi ketepatan masa mengikut jadual bagi sekurang-kurangnya 80% trip yang dijalankan setiap hari.
“Sekiranya gagal mencapai 80% untuk mana-mana laluan, kerajaan tidak akan membayar subsidi kepada pengendali tersebut untuk semua laluan,” katanya.
Loke berkata, pengendali bas henti-henti perlu memastikan sistem pembayaran tanpa tunai dipasang dan digunakan untuk melayakkan mereka menerima subsidi ISBSF kerana kerajaan akan mewajibkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai.
“Pengendali akan dibayar kos maksimum RM450 sebulan untuk setiap kenderaan yang dipasang sistem tanpa tunai bagi memastikan tidak berlaku lagi ketirisan hasil tambang dikutip,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk membatalkan kontrak sekiranya terdapat pengendali yang gagal mencapai prestasi yang dikehendaki dan tahap perkhidmatan serta prestasi mereka dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat melalui sistem pemantauan berpusat.
“Mana-mana pengendali yang gagal memenuhi kriteria yang telah ditetapkan akan dikenakan tindakan seperti amaran dan pengurangan pembayaran dana bagi bulan atau tahun semasa serta seterusnya penamatan kontrak,” katanya.