
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan yang dicapai hasil perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dan DUKE menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang akan terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12 lebuh raya, dijangka bermula pada September 2023.
Katanya, lebuh raya terlibat termasuk Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).
Beliau memaklumkan bahawa DUKE juga dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya di dalam negara.
“Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
“Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya dalam kenyataan.
Nanta berkata, pada masa ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.
“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” katanya.